HomeBeritaBom ikan di Sungai Singor: DOF akan siasat lebih ramai suspek

Bom ikan di Sungai Singor: DOF akan siasat lebih ramai suspek

JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) akan menyiasat lebih ramai suspek kes mengebom ikan di Sungai Singor dalam Hutan Simpan Temengor di Gerik, yang dipercayai berada di luar Perak bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada dua lelaki bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal dimulakan selepas dapat laporan di media sosial. Kita telah merujuk kertas siasatan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan Jabatan Peguam Negara namun terdapat ulasan bahawa perlu dilengkapkan lagi kertas siasatan.

“Kita ambil inisiatif dalam masa terdekat memanggil atau kita akan hantar pegawai penyiasat ke sana untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Ramah Mesra dan Pelepasan Induk Ikan Kelisa di Jeti Jabatan Pengiran dan Saliran (JPS) di Kampung Tepi Kolam, Tasik Bukit Merah di sini pada Sabtu.

Menurut Adnan, siasatan dijalankan secara bersama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebelum dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, pihaknya tidak akan melepaskan dengan mudah perbuatan kumpulan terbabit yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan berbangga dengan kesalahan dilakukan.

“Hutan simpan sebenarnya tidak boleh masuk, itu kesalahan pertama dan menangkap ikan kelah juga satu kesalahan di bawah Enakmen Perikanan Perak.

“Selain mengebom, dalam video tular itu mereka dipercayai menggunakan ‘spear gun’ yang merupakan satu kesalahan. Kita akan cuba yang terbaik,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 100 ekor induk ikan kelisa emas bernilai RM150,000 telah dilepaskan ke Tasik Bukit Merah sebagai usaha memulihara dan memastikan kemampanan spesies tersebut di habitat semulajadinya.

 

Author

Pilihan Editor