HomeBeritaRM1.4 juta kompaun kesalahan merokok pada Mac

RM1.4 juta kompaun kesalahan merokok pada Mac

SEBANYAK 5,549 kompaun dengan nilai tawaran berjumlah RM1.4 juta dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Mac, susulan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kompaun itu adalah hasil aktiviti penguatkuasaan kementerian terhadap 18,178 premis yang dilawati sepanjang bulan lalu dengan sejumlah 8,926 notis kesalahan dikeluarkan.

“Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi, sebanyak 3,816 tawaran kompaun bernilai RM1.91 juta dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dr Muhammad Radzi berkata, 642 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan 95 kes disabitkan kesalahan di mahkamah membabitkan jumlah denda RM180,600.

Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, beliau berkata, sebanyak 33,473 premis makanan telah diperiksa.

“Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 ialah 124, iaitu 0.37 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan dihidangkan.

Author

Pilihan Editor