HomeBeritaDitahan di Kota Kinabalu, ini respons Akmal Saleh

Ditahan di Kota Kinabalu, ini respons Akmal Saleh

KETUA Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan bahawa dirinya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memaklumkan bahawa beliau sepatutnya dijadualkan memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam hantaran sama, Exco Kerajaan Negeri Melaka itu turut mengesahkan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan.

“Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” tulisnya pada Jumaat.

Tangkap layar hantaran Dr Muhamad Akmal di laman Facebook.

Difahamkan, Dr Muhamad Akmal ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Dalam hantaran berasingan, Dr Muhamad Akmal memuat naik sebuah video berdurasi 45 saat.

No fear, no surrender (Tidak takut, tidak mengalah),” katanya ringkas.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya tindakan segera diambil kepada pihak yang cuba menghasut rakyat, terutama berkait isu kedai serbaneka KK Mart sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah, Jemaah Menteri juga senada dengan titah Seri Paduka itu serta mahu aspek penguatkuasaan diberi perhatian utama serta disegerakan, susulan tiga insiden serangan ke atas premis KK Mart baru-baru ini.

Ketika ini, Dr Muhamad Akmal antara individu yang lantang menyuarakan pandangan, berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Difahamkan, beliau juga merupakan antara yang terawal menggesa rakyat Malaysia untuk memboikot premis tersebut.

Menurutnya, kempen boikot itu diadakan sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.

 

Author

Pilihan Editor