HomeBeritaMahkamah & JenayahSuami isteri ditahan, disyaki dera 2 kanak-kanak guna seterika dan air panas

Suami isteri ditahan, disyaki dera 2 kanak-kanak guna seterika dan air panas

KENINGAU: Pasangan suami isteri ditahan polis, selepas disyaki mendera dua kanak-kanak lelaki berusia 5 dan 13 tahun, sejak bulan lalu.

Kedua-dua mangsa didakwa didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan luka dan melecur di  badan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kejadian itu dikesan oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis di daerah ini pada 2 Mac lalu.

Katanya, lelaki itu menyedari terdapat kesan luka seperti kesan terkena seterika pada badan kanak-kanak terbabit disyaki didera.

“Menyedari keadaan mangsa seperti didera, dia kemudian membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek suami isteri berusia 27 dan 36 tahun ditahan di rumah sewa mereka di pekan Keningau, pada Khamis.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah peniaga burger,” katanya lapor Berita Harian.

Siasatan lanjut mendapati terdapat  seorang lagi mangsa lelaki berusia 5 tahun turut didera oleh kedua-dua suspek.

“Mangsa berusia 13 tahun itu adalah anak tiri kepada suspek wanita. Kedua-dua mangsa tiada sebarang talian persaudaraan dan dipelihara oleh kedua-dua suspek.

“Manakala mangsa berusia 5 tahun adalah anak angkat kedua-dua suspek,” katanya.

Yampil berkata, siasatan mendapati kejadian dera itu dipercayai berlaku di rumah sewa suspek antara 24 Mac 2024 hingga 30 Mac 2024.

“Mangsa berusia 13 tahun dipercayai didera menggunakan seterika beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. Kejadian itu dilakukan suspek kerana mendakwa mangsa menipu menghabiskan jualan burger.

“Selain itu, mangsa turut dipukul menggunakan kayu dan batang besi pada belakang badan manakala mangsa berusia 5 tahun disiram menggunakan air panas di atas lantai.

“Mangsa juga dipaksa berdiri di atas air panas hingga kedua-dua kakinya melecur. Selain itu mangsa turut dipukul menggunakan besi di bahagian belakang badannya.

“Mangsa turut ditekap dengan seterika oleh suspek wanita pada bahagian kiri dan kanan tangan serta belakang badan hanya kerana lambat membuka lampin pakai buang ketika bangun tidur,” katanya.

Jelasnya lagi,, kedua-dua suspek juga didapati mempunyai kes jenayah lampau berkait dadah.

Susulan itu, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Author

Pilihan Editor