KUANTAN: Khidmat helikopter jenis Agusta kini digunakan sepenuhnya dalam Operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut yang masih berlaku di Rompin.
Difahamkan Helikopter jenis Mi17 yang ditugaskan melakukan pemadaman di kawasan Gebeng dan Inderapura di sini, tidak sempat menjalankan tugas berikutan kebakaran terlebih dahulu padam selepas hujan lebat semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, helikopter jenis Mi17 dikendalikan juruterbang, Penolong Penguasa Bomba Amir Fitri Salim hanya membuat tiga penerbangan bagi meninjau keadaan dan lokasi kebakaran.
Wan Mohammad berkata, semalam pasukan itu melakukan penerbangan kali terakhir meninjau sebelum pulang ke Pangkalan Udara Wilayah Tengah (PUWT) di Subang, Selangor bagi menamatkan misi di daerah ini.
“Operasi memadam kebakaran di Rompin menggunakan helikopter, selain turut dibantu 10 anggota unit khas JBPM diturunkan menggunakan helikopter di kawasan hutan tanah gambut terbabit.
“Kita jangkakan tempoh dua hingga tiga hari lagi kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya, hujan lebat kelmarin turut membantu memadam kebakaran yang terdapat di beberapa tempat dalam satu kawasan,” katanya lapor Buletin TV3.
Tambahnya, kawasan terbuka, cuaca kering dan angin kencang menyukarkan lagi kerja memadam kebakaran yang berlaku di kawasan hutan tanah gambut di Rompin.
Sementara itu, Amir Fitri berkata, beliau sepatutnya memulakan tugas memadam kebakaran di Gebeng selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, namun disebabkan cuaca tidak mengizinkan operasi pemadaman tidak dapat dilakukan mengikut jadual.
“Hujan lewat yang berlaku kelmarin membantu sepenuhnya memadam kebakaran di Gebeng dan Inderapura. Tinjauan dilakukan mendapati tiada lagi asap serta api dalam dua kawasan berkenaan.
“Saya bersyukur hujan lebat berlaku selepas difahamkan lebih 10 hari kebakaran berlarutan,” ulasnya.