HomeBeritaMayat lelaki ditemukan terdampar di Pantai Tanjung Purun Labuan

Mayat lelaki ditemukan terdampar di Pantai Tanjung Purun Labuan

LABUAN: Mayat seorang lelaki ditemukan terdampar berhampiran Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Tanjung Purun, di sini, pada Khamis.

Orang awam menemukan mayat mangsa yang dikenali sebagai Abang Shuhada Abang Abdul Ladi, 53, hanya memakai seluar panjang sekitar jam 7.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Supt. Mohd Hazimi Halim berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap ketika air laut sedang mula pasang.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan pada tubuh mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke hospital Labuan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Mangsa bersama keluarganya tiba di Labuan pada 10 April untuk melawat keluarga di sini dikenalpasti  menginap di sebuah hotel di pusat bandar,” katanya, lapor Sabah News Today.

Hamizi berkata, sebelum kejadian mangsa dilaporkan keluar untuk bersiar-siar kira-kira jam 3 pagi di sekitar kawasan berhampiran.

“Kehilangan mangsa hanya disedari keluarganya pada sebelah pagi seterusnya mereka bertindak  mencari di sekitar kawasan hotel sehingga ke hospital, namun gagal menemukannya.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelas Hazimi.

Author

Pilihan Editor