HomeBeritaTahanan rumah Najib tidak wujud dalam undang-undang - Latheefa Koya

Tahanan rumah Najib tidak wujud dalam undang-undang – Latheefa Koya

PERMOHONAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghabiskan baki hukuman penjara selama enam tahun sebagai tahanan di rumah mendapat perhatian Latheefa Koya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menerusi hantaran di laman X berkata, sekiranya kebenaran permohonan itu dilaksanakan, ia akan menyebabkan gejala rasuah semakin berleluasa.

Malah, katanya, tahanan di rumah itu tidak termaktub dalam undang-undang negara.

“Tahanan rumah adalah perintah yang menyalahi undang-undang. Ia tidak wujud di bawah undang-undang kita.

“Ia tiada dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan atau Akta Penjara.

“Jika Najib dibebaskan atas penahanannya, rasuah akan dihalalkan dan Malaysia akan tenggelam ke tahap ‘banana republic‘,” tulisnya pada Isnin.

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, bagi mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, beliau enggan terbabit dalam perbincangan berkaitan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada Najib.

Perdana Menteri dilapor berkata, hal ini kerana perbincangan mengenai titah berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pendirian kerajaan mengenai semua urusan berkaitan Majlis Raja-Raja tidak boleh dicabar adalah kekal sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Author

Pilihan Editor