Kes amang seksual PU Azman: Mangsa dipanggil lagi beri keterangan

0
32

SEREMBAN: Remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga mangsa dalam kes amang seksual fizikal dihadapi pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, dipanggil sekali lagi untuk memberi keterangan sebagai saksi ke-11 pendakwaan, pada Isnin.

Remaja berkenaan memberi keterangan hampir dua jam di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada prosiding yang dijalankan secara tertutup bermula jam 2.30 petang di Mahkamah Seksyen, di sini.

Sebelum ini, remaja itu dipanggil memberi keterangan buat kali pertama dalam prosiding pada Disember tahun lalu.

Berita Harian melaporkan, Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man, tiba di mahkamah kira-kira jam 1.50 tengah hari bersama peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah sejurus selepas prosiding, Azman yang berbaju Melayu berwarna coklat, sempat berseloroh bahawa Aidilfitri sambutannya meriah seperti biasa tetapi tidak diserikan dengan ‘kerepek bawang’, selain turut mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir batin’ kepada media.

“Saya menyambut raya di Perak bersama saudara-mara di sana. Sekarang, baru balik ke rumah keluarga di Rantau, Seremban,” katanya.

Ditanya pemberita mengenai sebab menutup ruang komen dalam Instagramnya (IG) pula, Azman memaklumkan sengaja berbuat sedemikian.

“Saya saja tutup komen dalam IG kerana lebih selesa. Sebelum ini pun saya pernah tutup dan sudah buka balik. Ia bukan kerana tekanan,” katanya.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Mohd Hadi Hakimi Harun, Goh Hsiao Tung, Nurul Balqis Zunaidi dan Zahida Zakaria. Kali terakhir Azman menghadiri perbicaraan di Seremban ialah pada 15 Julai tahun lalu.

Azman menghadapi 12 pertuduhan berkaitan kesalahan seksual, iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang serta dua kes di Mahkamah Shah Alam.

 

Author