HomeBeritaJoseph Kurup meninggal dunia

Joseph Kurup meninggal dunia

TAN Sri Joseph Kurup meninggal dunia pada usia 80 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada Rabu.

Memetik laporan media tempatan, pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang tidak sihat sejak sekian lama itu meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu bersara daripada politik Januari tahun lalu, selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti tersebut.

Beliau digantikan anaknya, Arthur, yang juga Timbalan Presiden PBRS merangkap Ahli Parlimen Pensiangan.

Bekas menteri persekutuan itu juga merupakan ahli pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum menubuhkan PBRS, komponen Barisan Nasional (BN) pada 1994.

Ahli politik veteran itu memegang beberapa jawatan menteri sepanjang karier politiknya selama lebih empat dekad.

Beliau adalah timbalan ketua menteri Sabah antara 1986 dan 1990 dan sekali lagi dari 1994 hingga 1999.

Jawatan terakhirnya ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) antara 2013 hingga 2018.

Beliau tidak mempertahankan kerusi Pensiangan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Author

Pilihan Editor