SEBAGAI seorang pemandu, tidak dinafikan kita sering disajikan dengan kerenah luar biasa pemandu lain.
Kelakuan tersebut biasanya dapat kita saksikan terutamanya apabila tiba di plaza tol untuk membuat pembayaran.
Seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini, memaparkan sebuah kereta Perodua Kenari merah melepasi palang tol secara licik untuk elak dikenakan caj di Lebuhraya KESAS.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Francis Yirdaki CT, perbuatan tersebut kantoi dan berjaya dirakam oleh dashcam kereta milik adikya.
Berdasarkan klip berdurasi selama 32 saat itu, Kenari tersebut pada awalnya dilihat mendekati palang tol tetapi palang itu tidak terangkat.
Memikirkan bahawa sistem RFID milik Kenari itu gagal dikesan, adik perempuan Francis mengundurkan sedikit keretanya untuk memberi ruang kepada Kenari tersebut.
Namun sebaliknya berlaku, Kenari tersebut dilihat mengundur sedikit, sebelum mengubah posisinya dan memecut laju di celahan antara palang tol.
“Penilaian ruang yang baik, jimat RM2,” selorohnya menerusi perkongsian di Facebook itu.
Rakaman dashcam itu kemudiannya tular sehingga meraih 66,000 jumlah tontonan dan mengundang pelbagai reaksi warganet.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan taktik licik yang digunakan oleh pemandu Kenari untuk mengelak bayar tol.
Bukan itu sahaja, muzik latar yang mendendangkan lagu ikonik ‘Careless Whisper’ oleh George Michael dianggap sesuai dengan aksi Kenari ketika memecut pergi melepasi palang tol.
“Sudah tiba masa, kita tukar kereta Kenari,” seloroh seorang netizen.
“Kemuncak lagu mainkan peranan penting,” kata seorang lelaki yang terhibur dengan muzik latar itu.
“Aku tak boleh betul lah, lagu kena pulak dengan situasi,” ujar salah seorang komentar.