HomeBeritaCacing parasit Anisakis sp ditemukan dalam sardin import dari Singapura - Maqis...

Cacing parasit Anisakis sp ditemukan dalam sardin import dari Singapura – Maqis Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 16,320 kilogram (kg) tin sardin dari China, yang mengandungi cacing parasit Anisakis sp. cuba diimport masuk ke negara ini, awal bulan ini.
Pengarahnya, Edie Putra Md Yusof berkata, cacing parasit berkenan ditemui di dalam sardin selepas agensi itu menghantar sampel sardin ke Jabatan Kimia Malaysia bagi dianalisis.
Sitaan dibuat ke atas lori yang membawa muatan sardin dalam tin bernilai RM 83,879.84 tersebut selepas gagal mengemukakan permit import yang diperlukan ketika ditahan di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Tindakan sitaan terhadap lori itu dibuat berikutan sardin dalam tin itu diimport tanpa permit import daripada Maqis.
“Pemeriksaan lanjut secara fizikal terhadap sardin dalam tin dari China itu mendapati kehadiran bendasing dalam tin sardin berkenaan.

“Beberapa sampel tin sardin kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut sebelum bendasing itu disahkan sebagai cacing parasit Anisakis sp,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Edie Putra berkata, tindakan cuba mengimport sardin berkenaan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] .

Menurutnya lagi, barangan import yang didapati mengandungi perosak, penyakit atau bahan cemar yang berbahaya kepada pengguna boleh di hukum di bawah akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, kesalahan itu boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis komited dalam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki negara demi menjamin keselamatan makanan negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor