HomeBeritaKeras kepala jual jagung bakar, penjaja warga asing disita DBKL

Keras kepala jual jagung bakar, penjaja warga asing disita DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barang jualan serta peralatan milik penjaja warga asing yang menjual jagung bakar di sekitar kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang dan Saloma Bridge, Jalan Saloma.

Perkara tersebut difahamkan bukanlah pertama kali berlaku kerana tindakan dan amaran diberikan sebelum ini dilihat ini tidak diambil peduli oleh penjaja tersebut.

Hal ini kerana, penjaja warga asing masih keras kepala meneruskan jualan jagung bakar di depan KLCC.

DBKL menerusi kenyataan di Facebook, tindakan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL telah melakukan penyitaan dan pemindahan barang mengikut peruntukan di bawah UUK 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, memandangkan aktiviti perniagaan dilakukan tanpa lesen,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL turut menyenaraikan beberapa barang yang disita termasuk jagung, papan alas, dapur panggang, rak plastik, dan lain-lain.

“Barangan yang disita akan dihantar ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tujuan dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

“Tindakan dan pemantauan akan diteruskan melalui siri tindakan khas di 11 Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya menerusi hantaran itu.

Selain itu, DBKL juga merobohkan struktur besi berbumbung kekal tanpa kebenaran di Jalan Burung Jentayu, Taman Bukit Maluri semalam.

Tindakan tersebut diambil oleh DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, dan Pejabat Cawangan Segambut.

“DBKL mendapati struktur besi berbumbung kekal tersebut dibina tanpa kebenaran di kawasan tersebut berdasarkan aduan awam dan pemantauan.

“DBKL juga mengeluarkan notis penguatkuasaan Seksyen 46(1)(a) yang melarang pembinaan atau penyelenggaraan tembok, pagar, susur, tiang, atau apa-apa halangan di tempat awam,” katanya.

Operasi tersebut berjalan lancar dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan kawalan pemantauan.

Author

Pilihan Editor