HomeBeritaKrim malam dikesan ada merkuri

Krim malam dikesan ada merkuri

BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan ZMY Magnetic Aura Night Cream kerana mengandungi merkuri.

Justeru, Pengarahnya, Rosilawati Ahmad berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Menurutnya, merkuri adalah bahan yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh diserap masuk ke dalam badan, serta mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Selain itu, katanya, bahan tersebut boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Rosilawati berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

Beliau berkata, penjualan dan pengedaran produk berkenaan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambahnya, individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Sementara itu, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang awam yang sedang menggunakan produk itu supaya menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan, sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik, dengan melayari laman sesawang NPRA di www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun di Google Play Store.

 

Author

Pilihan Editor