HomeBeritaNahas helikopter TLDM: Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga

Nahas helikopter TLDM: Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter di Lumut, Perak pada Selasa pagi. 

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Seri Paduka menzahirkan rasa amat sedih di atas kehilangan wira-wira negara dalam tragedi tersebut.

Turut menzahirkan ucapan sama adalah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

“Al-Fatihah dan salam takziah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan juga syuhada.

“Saya juga mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian ini,” titah baginda.

Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi, sebelum kedua-duanya bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.

Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian, manakala mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kesemua mangsa nahas itu sedang menjalani raptai untuk kali ketiga, bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90 pada Sabtu ini.

 

Author

Pilihan Editor