HomeBeritaIdentiti 10 mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

Identiti 10 mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

 

LUMUT: Identiti 10 kru yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Selasa telah dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata, semasa kejadian semua kru terlibat sedang mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

“Pihak TLDM telah memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa. Maklumat lengkap berkaitan mangsa akan kita dikeluarkan menerusi kenyataan media nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan TLDM Lumut di sini pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, operasi membawa keluar mangsa selesai dijalankan pasukan penyelamat diketuai TLDM bersama polis dan bomba.

“Buat masa ini, kerja-kerja siasatan dijalankan di tempat kejadian membabitkan dua lokasi iaitu di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, bagaimanapun poses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRBP) Ipoh,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Berdasarkan maklumat dikongsi, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM AW139 dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Author

Pilihan Editor