BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjalani pembedahan hernia pada petang Ahad, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.
Pejabat Netanyahu berkata, perdana menteri dibius sepenuhnya semasa pembedahan di Hospital Hadassah Ein Kerem di Baitulmaqdis.
Menteri Kehakiman Yariv Levin, yang juga timbalan perdana menteri, akan mengisi peranan Netanyahu buat sementara waktu semasa ketiadaan beliau, kata kenyataan itu.
Pejabat Netanyahu berkata, hernia itu disahkan semasa pemeriksaan rutin pada petang Sabtu, lapor Anadolu.
Netanyahu, 74, menjalani pembedahan untuk memasang pemacu jantung tahun lalu selepas dia mengalami masalah jantung.
Pembedahan hernia itu dilakukan ketika Israel meneruskan serangan mautnya di Genting Gaza berikutan serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh Hamas, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.
Hampir 32,800 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu dan 75,300 yang lain cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan. Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan di Genting Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya penduduk di utara Gaza, berada di ambang kebuluran.