HomeBeritaPenjawat awam Gred 56 ke bawah terima RM500 duit raya - PM

Penjawat awam Gred 56 ke bawah terima RM500 duit raya – PM

CYBERJAYA: Penjawat awam Gred 56 ke bawah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara tersebut pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri, hari ini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Jadi hari ini, bersamaan 21 Ramadan 1445, saya umumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Sebanyak RM250 BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen, insya-Allah saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat mengulangi gesaan supaya kerajaan memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara.

Adnan dilapor berkata, pihaknya berharap agar Perdana Menteri mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan itu, sebagaimana dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu.

Insentif itu katanya, bukan sahaja memberi manfaat kepada penjawat awam, malah melegakan kelompok peniaga.

Author

Pilihan Editor