HomeBeritaPemandu pelancong maut ditimpa batu di Ipoh

Pemandu pelancong maut ditimpa batu di Ipoh

IPOH: Seorang pemandu pelancong maut selepas ditimpa batu di kawasan Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling, Taman Saikat, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima makluman orang awam mengenai kejadian itu pada kira-kira 11.30 pagi.

Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 44 tahun sedang membawa pelancong dari Vietnam ke Ipoh.

“Semasa berada di tempat kejadian, satu bongkah batu telah terjatuh dan mengenai kepala mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya lapor Berita Harian.

Abang Zainal berkata hasil pemeriksaan pakar forensik perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan kepala setelah ditimpa batu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan si mati, tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor