SEORANG lelaki warga tempatan mengalami kerugian sebanyak RM239,868, selepas terpedaya dalam sindiket pelaburan tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, pihak polis menerima laporan berhubung kes tersebut pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia lewat 50-an itu telah membuat pelaburan ternakan ikan diasaskan oleh sebuah syarikat, yang kononnya beroperasi di Hong Kong, China.
Jelasnya, mangsa yang bekerja sebagai pengurus ditawarkan suspek untuk membeli saham syarikat bernilai AS$0.60 (RM2.86) per unit dan dijanjikan pulangan selepas tiga tahun.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah menyerahkan sekeping cek kepada suspek, sebelum membuat dua kali transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank sebuah syarikat berdaftar di Malaysia mulai 3 Ogos 2018 sehingga 19 September 2018.
“Namun, sehingga kini, pulangan yang dijanjikan tidak diterima menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM239,868,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
M Kumar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Katanya, statistik pelaburan tidak wujud di negeri Johor bagi bulan Januari hingga April 2023 adalah sebanyak 148 kes, melibatkan kerugian RM10,955,776.40 berbanding tempoh sama pada tahun ini, yang menyaksikan sebanyak 218 kes membabitkan kerugian sebanyak RM19,216,913.90.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 70 kes bersamaan 47.3 peratus, yang mana jumlah kerugian dialami mangsa juga meningkat sebanyak RM8,261,137.50 atau bersamaan dengan 75.4 peratus,” katanya.
Justeru, pihak polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Tambahnya, dapatan maklumat lanjut adalah dari sumber-sumber rasmi seperti portal ‘Semak Mule CCID‘, ‘Alert List Bank Negara Malaysia‘ dan ‘Suruhanjaya Sekuriti‘ (melalui platform investment checker), sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan.
Ujarnya lagi, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan penipuan dengan mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti di Facebook, Instagram dan TikTok bagi mengetahui modus operandi terbaharu jenayah komersil.
“Orang ramai juga diseru untuk memuat turun aplikasi ‘Whoscall‘ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” katanya.