HomeBeritaPenunggang motosikal berkuasa tinggi maut rempuh kereta berhenti

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut rempuh kereta berhenti

ISKANDAR PUTERI: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila motosikalnya merempuh sebuah kereta yang berhenti kerana kesesakan jalan raya raya di Kilometer (KM) 0.5 Lebuhraya Link Kedua arah selatan, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, kemalangan tersebut membabitkan tiga kenderaan, berlaku kira-kira jam 8.50 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis Honda Civic bergerak perlahan di lorong kanan, berhenti kerana kesesakan jalan raya, tiba-tiba sebuah motosikal jenis Vespa Piaggio merempuh kereta tersebut.

“Selang beberapa minit kemudian, dari arah sama datang sebuah motosikal jenis Ninja EX650 telah merempuh bahagian belakang kereta yang sama menyebabkan penunggang motosikal terbabit tercampak ke jalan raya dan maut di lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ibrahim, penunggang motosikal yang maut adalah lelaki tempatan berusia 28 tahun manakala pemandu kereta, lelaki warga tempatan berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Penunggang Vespa Piaggio hanya mengalami luka di bahagian kaki,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

 

Author

Pilihan Editor