PELAKON dan pelawak, Sabri Yunus menafikan dakwaan mengenai isterinya, Angeline Tan yang dikatakan sedang hamil.
Menerusi hantaran di Facebook, Sabri, 63, meluahkan rasa kesal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tersebut sedangkan ia tidak pernah keluar daripada mulutnya.
Bertambah kecewa, apabila ada pihak percaya dan menyebarkan berita itu kepada pihak lain sehingga menimbulkan fitnah.
“Kepada mereka yang memulakan isu ini, dia tidak rasa bersalah atau rasa berdosa?
“Kepada yang menyambut dan menyambung menularkan cerita ini tidak berasa perkara sama?,” ujarnya menerusi hantaran tersebut.
Bagaimanapun Sabri itu menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah paling kelakar pernah didengarkan sejak mendirikan rumah tangga.
“Hari ini tular fitnah paling kelakar sepanjang enam bulan lalu,” katanya.
Tambahnya lagi, dia berasa agak letih untuk menjawab pertanyaan pelbagai pihak termasuk kenalan rapat yang mahukan kepastian mengenai perkara tersebut.
“Ada yang kata tidak mengapa kerana benda baik namun bagi saya yang tak baik itu fitnah… Fitnah tak mungkin baik,” tegasnya.
Untuk rekod Sabri dan Angeline atau nama Islamnya Ardini, 57, mendirikan rumah tangga pada 14 Oktober tahun lalu.
Mereka dinikahkan sendiri oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya di Arau, Perlis.