HomeGlobalSerangan dron Iran: Ledakan kuat kedengaran di Israel

Serangan dron Iran: Ledakan kuat kedengaran di Israel

LETUPAN kedengaran di beberapa kawasan di Israel pada awal pagi Ahad ketika pertahanan udara memintas dron dan peluru berpandu dilepaskan dari Iran, menurut laporan media.

Siren roket dan letupan kuat kedengaran di selatan Israel, termasuk Eilat, Beersheba, Dimona, Nevatim dan kawasan lain, lapor akhbar The Times of Israel.

Seorang wartawan Anadolu berkata, siren dan bunyi letupan kuat turut kedengaran di Baitulmaqdis, termasuk di atas bangunan Knesset, atau Parlimen Israel.

Perkhidmatan ambulans Magen David Adom berkata, seorang cedera parah di wilayah selatan Negev dalam serangan itu.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan pelancaran berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu ke arah Israel, pada Sabtu.

IRGC berkata, serangan itu datang sebagai tindak balas kepada banyak jenayah yang dilakukan oleh Israel, termasuk serangan minggu lalu ke atas bahagian konsulat Kedutaan Iran di Damsyik.

Tentera Israel berkata, tenteranya berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan serangan Iran.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam serangan peluru berpandu ke atas Konsulat Iran di Damsyik pada 1 April, termasuk tujuh penasihat tentera. Tehran menyalahkan Israel atas serangan itu.

Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab secara rasmi untuk serangan itu tetapi telah beberapa bulan melakukan beberapa serangan terhadap sasaran Iran di seluruh Syria.

Author

Pilihan Editor