HomeBeritaPenuntut universiti pulang dari kampung rentung dalam nahas

Penuntut universiti pulang dari kampung rentung dalam nahas

RAUB: Seorang penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) rentung selepas kereta dipandu bapanya terbabas dan merempuh pokok serta terbakar di Jalan Ulu Gali–Jelu, dekat di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, nahas berlaku kira-kira jam 12:45 tengah malam tadi ketika kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan pulang dari Kampung Ulu Dong, Raub ke Petaling Jaya, Selangor selepas menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa, Nurul Izati Yunus, 23, tersepit dalam kenderaan.

Mohd Shahril berkata, bapa mangsa cuba menyelamatkan gadis terbabit dengan menarik keluar dari kenderaan tetapi gagal apabila kereta mereka naiki terbakar.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku setelah kereta dipandu ayah mangsa berusia 66 tahun terbabas dan melanggar pokok serta terbakar,” katanya lapor Buletin TV3, hari ini.

Mohd Shahril berkata, akibat kemalangan itu seorang wanita dan seorang lelaki penumpang belakang kereta terbabit turut tercedera.

Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, enam anggota bomba beregas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan mengenai kebakaran kereta terbabit pada jam 12:41 tengah malam tadi.

Menurutnya, sebaik tiba dilokasi bomba mendapati kereta jenis Proton Saga sedang terbakar.

Katanya, bomba mengambil masa sembilan minit untuk memadam kebakaran kereta itu.

“Kereta itu hangus sepenuhnya dan mayat mangsa dalam keadaan rentung ditemui di selepas api dipadamkan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

 

Author

Pilihan Editor