HomeBeritaSokong rakyat Palestin, Mahmoud Abbas berterima kasih kepada Malaysia

Sokong rakyat Palestin, Mahmoud Abbas berterima kasih kepada Malaysia

PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas menzahirkan penghargaan terima kasih kepada kepimpinan dan rakyat Malaysia, yang sentiasa memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertemu dengan Mahmoud ketika sidang Planery Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad.

Pada masa sama, Mohamad berkata, Mahmoud turut menyampaikan salam terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Beliau minta sampaikan salam terima kasih rakyat Palestin kepada seluruh rakyat Malaysia,” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Mohamad (kiri) sempat bertemu dengan Mohammed Ishaq di WEF. – Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

Dalam hantaran berasingan, Mohamad turut berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Pakistan, Mohammed Ishaq Dar di WEF.

Menerusi pertemuan itu, Mohamad berkata, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat supaya Malaysia dan Pakistan mengukuhkan lagi hubungan dua hala melalui kerjasama sedia ada serta meneroka bidang kerjasama lain yang berpotensi.

“Saya juga sempat mengucapkan tahniah kepada Ishaq Dar di atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Pakistan berkuat kuasa semalam (Ahad),” katanya.

Terdahulu, Mohamad mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Riyadh sempena Mesyuarat Khas WEF mulai 27 April hingga 29 April ini.

Turut bersama mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Author

Pilihan Editor