SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti maklumat mengenai empat kereta model Bugatti Veyron, yang dirampas polis Jerman dari kemudahan simpanan persendirian di Munich.
Difahamkan, kedua-dua agensi itu ketika ini sedang bekerjasama rapat termasuk berkongsi maklumat mengenai rampasan kenderaan mewah tersebut, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, pihaknya akan sedia membantu dalam siasatan kes berkenaan.
“Apa juga bantuan dikehendaki, PDRM akan sedia membantu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sebelum ini, polis Jerman merampas empat kereta mewah berjenama Bugatti Veyron, yang dikaitkan dengan siasatan kes 1MDB.
Menurut akhbar Jerman, Bild, rampasan itu dibuat dalam serbuan di kemudahan simpanan persendirian dekat Munich pada awal minggu ini.
Empat kenderaan edisi khas itu adalah Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantine – dengan setiap kereta bernilai lebih AS$3 juta (kira-kira RM14.3 juta).
Pada 2021, SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa berjaya memulangkan aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.
Tahun lalu, SPRM berjaya memperoleh semula RM23.9 juta wang hasil daripada proses pemulihan aset 1MDB dari Ogos 2023 sehingga hingga 5 Februari.
Pada Mac 2023, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kemudiannya mengesahkan kerajaan sudah berjaya mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion.
Pada Ogos, Razarudin dilapor berkata, SPRM dijangka akan melakukan banyak rampasan berkaitan siasatan 1MDB, susulan penahanan sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low, Jasmine Loo Ai Swan pada 7 Julai lalu.