HomeBeritaPolitikTiada pemimpin utama PAS pada hari penamaan calon bukan isu besar -...

Tiada pemimpin utama PAS pada hari penamaan calon bukan isu besar – Ahmad Fadhli

KETUA Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa, ketiadaan pimpinan tertinggi parti itu ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu bukan isu besar.

Sebaliknya, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keseluruhan pemimpin PAS Selangor sudah pun berada di Kuala Kubu Baharu pada hari penamaan calon tersebut.

Jelasnya, tindakan PAS mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS 2024 di Perlis pada Sabtu sudah pun diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat sebelum bulan Ramadan.

Malah, katanya, hebahan kepada umum berhubung majlis itu telah diuar-uarkan seawal 18 April di Facebook rasmi PAS Perlis, yang mana pada waktu itu Perikatan Nasional (PN) masih belum memutuskan parti komponen yang akan bertanding mewakili PN di PRK Kuala Kubu Baharu.

Beliau berkata, gerak kerja kempen sebelum penamaan calon juga menyaksikan ramai pemimpin kanan PAS turut ikut serta.

“Mengadakan sambutan hari terbuka sempena hari raya di negeri-negeri bukanlah satu amalan asing dalam PAS. Untuk rekod, tahun 2022 sambutan diadakan di Perak manakala tahun lepas 2023 diadakan di negeri Kedah.

“Jadi, tiada isu. Mungkin menteri terlepas pandang kerana tidak mendapat jemputan. Saya fikir selepas ini PAS boleh memikirkan untuk turut menjemput pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH), cuma dibimbangi situasi janggal boleh berlaku kerana majlis ini atas nama parti, bukannya kerajaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Pada masa sama, Ahmad Fadhli berkata, isu tersebut tidak perlu diberikan perhatian berikutan ia bukanlah isu besar.

“Apa yang perlu diberikan perhatian ialah pengumuman MCA bahawa parti itu tidak akan menyertai kempen dan gesaan Ketua Pemuda UMNO bahawa ‘jangan pilih pemimpin hipokrit’ dan ‘hantar mesej yang jelas dalam pilihan raya ini’.

“Semua pihak boleh meneka kepada siapa mesej itu dituju,” katanya.

Pada Sabtu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mempersoalkan mengenai keberadaan pemimpin utama PAS di Perlis berbanding di Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Beliau dilapor berkata, perkara itu dilihat agak ‘menarik’, namun beliau tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin PAS kerana tidak berada di Kuala Kubu Baharu, khususnya pada hari penamaan calon bagi PRK Kuala Kubu Baharu.

Tangkap layar hantaran PAS Negeri Perlis di laman Facebook, berhubung penganjuran majlis rumah terbuka pada 18 April lalu.

Difahamkan, PAS menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka peringkat pusat parti itu di Dewan Wawasan 2020, Kangar mulai jam 11 pagi hingga 2 petang.

Antara yang hadir pada program itu ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Author

Pilihan Editor