HomeBeritaSUK Melaka meninggal dunia

SUK Melaka meninggal dunia

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jumaat pagi.

Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada kira-kira jam 8.15 pagi.

Susulan itu, kerajaan negeri memaklumkan butiran majlis penghormatan terakhir ke atas Allahyarham.

Menurutnya, pengurusan mandi jenazah dilakukan pada jam 9.30 pagi, sementara jenazah dibawa ke Masjid Al-Azim, Melaka untuk solat jenazah pada jam 10.30 pagi.

“Pada jam 11.15 pagi, jenazah kemudian dibawa ke kediaman Allahyarham di Batu 22, Kampung Tebung dan seterusnya ke Masjid Al-Ihsan Tebung di Alor Gajah.

“Solat dan pengebumian jenazah akan dilakukan pada jam 2.30 petang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, kerajaan negeri turut mengalu-alukan semua penjawat awam untuk memberi penghormatan terakhir terhadap Allahyarham, dengan mematuhi etika pakaian yang sesuai.

“Bagi pihak pentadbiran kerajaan negeri Melaka, kami merakamkan setinggi-tinggi takziah buat seluruh ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” kata kenyataan itu.

Zaidi telah dilantik sebagai setiausaha kerajaan negeri ke-29 mulai 5 Januari 2022.

Beliau bersama isteri, Datin Wira Siti Rohaya Kamaludin dan empat anak mereka sepatutnya mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya, pada tengah hari Sabtu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya mengucapkan takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.

“Saya berasa amat dukacita atas pemergian Allahyarham dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama kalangan orang beriman dan bertaqwa.

“Dititipkan juga iringan doa semoga keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan orang tersayang serta dipermudahkan segala urusan.

“Bagi saya, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada perkhidmatan awam khususnya negeri Melaka,” katanya.

Author

Pilihan Editor