HomeBeritaBarangan dapur dibuang, dibakar milik bekas MP Kuala Krau

Barangan dapur dibuang, dibakar milik bekas MP Kuala Krau

BERAS dan beberapa barangan dapur yang dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, dekat Temerloh, Pahang merupakan milik bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau berkata, barangan tersebut merupakan stok simpanan yang sentiasa disediakan, bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Jelasnya, barangan tersebut disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Menurutnya lagi, umum mengetahui bahawa pada tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

“Pembelian barangan dapur ini tidak melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan atau peruntukan kerajaan negeri Pahang.

“Ia juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, beliau menerima aduan daripada jiran yang menyatakan, terdapat bau busuk di tempat stor simpanan barangan dapur tersebut pada 5 April lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati, terdapat beberapa ekor tikus ditemui, manakala barangan lain seperti beras sudah pun dicemari oleh bubuk atau kutu.

“Barangan lain juga tidak sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar.

“Sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar dan sebahagian lagi telah dilupuskan.

“Saya mengambil tanggungjawab dan sangat menyesali perkara ini, dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Media Variasi melaporkan kampit beras dan beberapa barangan dapur dalam kuantiti besar dibuang dan dibakar, di kawasan pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor