SEJAK Selasa, negara digemparkan dengan kehilangan 10 perwira negara yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak.
Tragedi tersebut bukan sahaja meruntun hati rakyat, malah rasa dukacita itu turut dizahirkan oleh beberapa pemimpin negara ini termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di sebalik kesedihan itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun tampil menyifatkan bahawa, umat Islam yang meninggal dunia akibat terhempas tergolong dalam syahid akhirat, sekali gus mendapat ganjaran besar di akhirat.
Namun, katanya, syahid akhirat adalah berbeza dengan syahid dunia akhirat, yang mati kerana berperang di jalan Allah SWT.
“Oleh itu, pengurusan jenazah individu yang syahid akhirat perlu diuruskan seperti biasa, iaitu dimandikan dan dikafankan sebelum dikebumikan.
“Sama ada golongan yang syahid akhirat akan dihisab di akhirat atau tidak, ia semua terserah kepada Allah SWT kerana orang yang berhutang tidak terus masuk syurga walaupun syahid,” katanya kepada Media Variasi.
Sementara itu, portal pejabat mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan bahawa, terdapat tiga jenis mati syahid mengikut pandangan alim ulama.
Jenis syahid pertama adalah syahid dunia akhirat iaitu orang-orang beriman yang ikhlas berjuang di jalan Allah untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata serta mati di medan peperangan.
Selain itu, syahid kedua adalah mana-mana individu yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah, namun dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid).
“Ini seperti berjuang di jalan Allah kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata, atau berjuang untuk dikatakan berani, atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan, dikafankan dan dimandikan,” katanya.
Jelasnya lagi, jenis syahid ketiga adalah syahid akhirat, yang mana seseorang syuhada meninggal dunia bukan di medan peperangan.
Ini seperti meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan sebagainya.
“Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat),” tambahnya.
Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi bagi menjalani raptai untuk bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.
Kedua-duanya kemudian dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian.
Berdasarkan maklumat dikongsi TLDM, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.
Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Dalam pada itu, TLDM sudah menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas itu.
Media melaporkan, jenazah lapan daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas itu akan dibawa ke Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), dekat Jalan Tambun, di dekat Ipoh, Perak untuk disolatkan pada Selasa.
Difahamkan, proses bedah siasat terhadap semua mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dijangka selesai jam 2 petang.
Lapan jenazah mangsa berkenaan akan diberikan penghormatan terakhir mengikut istiadat ketenteraan di Batalion Ke-23 RAMD, sebelum dibawa ke lokasi pengebumian mengikut permintaan keluarga masing-masing.