HomeBeritaMahkamah & JenayahSyarikat bukan Islam jilid naskhah al-Quran, 2 pengarah didenda RM8,000

Syarikat bukan Islam jilid naskhah al-Quran, 2 pengarah didenda RM8,000

PETALING JAYA: Dua pengarah syarikat masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret kerana tidak mematuhi syarat serta tiada lesen daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran untuk menjilidkan 3,800 naskhah kitab suci berkenaan.

Majistret Farah Azura Mohd Saad, memutuskan hukuman berkenaan terhadap pengarah Tihani Cetak Sdn Bhd dan Hua Mei Industry Sdn Bhd, masing-masing Muhammad Hatim Ab Wahab, 34, dan Sum Yew Hom, 41, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan pada Selasa.

Berita Harian melaporkan, mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pengarah itu yang tidak diwakili peguam dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Farah Azura dengan tegas berkata, Muhammad Hatim sebagai orang Islam sepatutnya lebih tahu dalam hal berkaitan sensitiviti masyarakat.

“Kamu (Muhammad Hatim) diberikan kuasa mencetak, kamu kena tahu siapa apa yang boleh buat (jilid) al-Quran.

“Tidak perlu diajar, kita orang Islam kita kena tahu. Betul tak? sensitiviti kena jaga,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hatim didakwa tidak mematuhi syarat lesen untuk mencetak atau menerbitkan teks al-Quran yang dikeluarkan lembaga berkenaan iaitu dengan membenarkan 3,800 kitab suci itu dijilidkan Hua Mei Industry Sdn Bhd yang adalah syarikat dimiliki orang bukan Islam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 5(7) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Yew Hom pula berdepan pertuduhan membantu pencetakan teks al-Quran dengan cara menjilid 3,800 naskhah teks kitab itu tanpa lesen dikeluarkan lembaga terbabit.

Oleh demikian, kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 5(1) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(6) akta sama.

Kedua-dua lelaki itu melakukan kesalahan berkenaan di Hua Mei Industry Sdn Bhd di Taman Bukit Serdang, Seksyen 9, Seri Kembangan, jam 3.05 petang pada 7 Mac lalu.

Mereka berdepan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum hakim menjatuhkan hukuman, Muhammad Hatim berkata, Hua Mei Industry Sdn Bhd mempunyai kelengkapan untuk menjilidkan al-Quran dan ramai pekerja syarikat itu adalah orang Islam.

“Kesilapan ini kami terlepas pandang. Kami meminta maaf atas kesilapan berlaku dan berjanji tidak akan mengulanginya, selain ini adalah kesalahan pertama,” katanya.

Manakala Yew Hom merayu dikenakan hukuman denda minimum atas alasan tidak tahu menjlid al-Quran dilakukan syarikatnya merupakan kesalahan.

“Saya diupah untuk menjlid al-Quran saja, tak tahu itu kesalahan. Ini adalah kesalahan pertama dan mohon hukuman dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor, Surieyani A Razak, memohon tertuduh terbabit yang melakukan kesalahan serius dikenakan hukuman wajar sebagai pengajaran dan peringatan.

“Ia supaya industri bidang pencetakan lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pengendalian al-Quran,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor