HomeBerita'Hormat waris mangsa, jangan buat spekulasi' - Fadillah

‘Hormat waris mangsa, jangan buat spekulasi’ – Fadillah

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, pagi tadi, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua pihak juga perlu menghormati waris mangsa dengan tidak menyebarkan gambar atau video kejadian itu bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Saya diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk segera ke lokasi kejadian berjumpa kepimpinan tertinggi TLDM dan keluarga mangsa serta menziarahi jenazah 10 mangsa.

“Bagi pihak Perdana Menteri dan Kerajaan Madani, saya menyampaikan ucapan takziah kepada TLDM dan ahli keluarga mangsa yang berada di hospital,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Fadillah berkata, beliau secara peribadi juga amat sedih dan dukacita dengan nahas yang berlaku dan berharap semua keluarga mangsa bersabar serta diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.

Selepas mendengar taklimat ringkas di Markas Udara TLDM Lumut, beliau ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut, lokasi kesemua jenazah mangsa dibawa dan bertemu dengan keluarga mangsa yang berada di sana.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi tadi, nahas berlaku apabila dua helikopter milik TLDM itu terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulang tahun TLDM ke-90 yang bakal diadakan bermula 25 April hingga 5 Mei ini.

Pengurusan tertinggi TLDM memaklumkan bahawa kesemua acara bagi sambutan itu akan dibatalkan dan digantikan dengan solat Jumaat serta bacaan tahlil untuk mangsa nahas berkenaan.

Author

Pilihan Editor