PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk sentiasa memantau perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata,
CAAM sudah pun mengeluarkan Maklumat Keselamatan mengenai Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia yang memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau berkata, Maklumat Keselamatan itu dikeluarkan susulan letusan Gunung Ruang yang mula meletus pada jam 9.45 pagi Selasa.
“Kesan letusan ini menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu dan boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat ruang udara berkenaan.
“Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Pada Khamis, syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Sabah serta Sarawak, susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.
Sebanyak 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur yang dibatalkan oleh Malaysia Airlines adalah MH7420 (KUL-TWU), MH7421 (TWU-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL), MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH7404 (KUL-BKI), MH7405 (BKI-KUL) dan MH2613 (BKI-KUL).
Lapan penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan adalah MH2520 (KUL-KCH); MH2513 (KCH-KUL); MH2542 (KUL-KCH); MH2543 (KCH-KUL); MH2574 (KUL-MYY); MH2575 (MYY-KUL); MH2742 (KUL-BTU) dan MH2473 (BTU-KUL).
AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.
Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak Rabu.
Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.