HomeSukanTunggakan gaji pemain, pegawai KDA FC selesai

Tunggakan gaji pemain, pegawai KDA FC selesai

KEDAH Darul Aman Football Club (KDA FC) sudah menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023.

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin, keseluruhan tunggakan gaji itu melibatkan semua pemain dan pegawai Pasukan Liga Super, KDA FC B (Piala MFL – Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden – Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia – Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab pada 17 April 2024.

Katanya, ia bermakna KDA FC telah memenuhi syarat seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim 2024.

“Dengan selesainya isu tunggakan gaji tahun kewangan 2023 sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) iaitu 20 April 2024 ini, bermakna KDA FC telah memenuhi syarat seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

“Saya positif dengan perkembangan situasi terkini, KDA FC akan menumpukan pelaksanaan hala tuju dirancang untuk musim 2024/25 serta musim-musim yang mendatang dengan lebih tersusun, efektif dan jitu mengikut kerangka yang lebih efisien,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata, bagi musim 2024/25, KDA FC akan memulakan saingan dengan pasukan KDA FC C bersaing dalam Piala Presiden pada 21 April ini, diikuti KDA FC D pada 4 Mei dalam saingan Piala Belia.

Manakala, jelas beliau, pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selain itu, Shahrul berkata, KDA FC B yang merupakan pasukan Bawah 23 tahun akan beraksi dalam kejohanan Piala MFL bermula 21 Mei ini.

Malah, katanya, sebagai sebuah kelab yang diswastakan sepenuhnya selepas proses pemisahan Persatuan Bola Sepak (Football Association) ke Kelab Bola Sepak (Football Club) pada penghujung 2020 hingga kini, kestabilan dan kelestarian kewangan adalah perkara yang amat penting dan mencabar dalam meneruskan kelangsungan operasi kelab di kancah pertandingan bola sepak tempatan mahupun antarabangsa. KDA FC memerlukan dana kewangan yang kukuh, stabil dan terjamin.

“KDA FC amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan dari semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong.

“Kami menyeru semua pihak di luar sana, pihak korporat, usahawan tempatan untuk bersama-sama memberikan sokongan, dorongan, galakan dan sumbangan untuk membantu pembangunan bola sepak di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Kami yakin ada pihak penaja yang akan terus bersama kami meneruskan kelangsungan legasi bola sepak Kedah yang sudah menjangkau usia 100 tahun pada 2024 ini,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor