HomeBeritaViralTak sedar dipukau, barang kemas wanita kena rembat

Tak sedar dipukau, barang kemas wanita kena rembat

SEORANG pekerja wanita terpaksa berputih mata apabila kehilangan barangan berharga, selepas dipercayai dipukau di sebuah pusat beli-belah di Sepang, Selangor pada Ahad lalu.

Perkara itu dikongsikan oleh abang ipar mangsa menerusi satu hantaran di laman Facebook Sepang Viral.

Menurut lelaki itu, kejadian tersebut berlaku di tempat kerja mangsa di sebuah kedai perkakasan rumah pada kira-kira jam 3:31 petang.

Tambah lelaki itu, kejadian berkenaan bermula apabila suspek datang ke premis tersebut dan mendakwa kononnya mahu membeli tujuh pasang baju untuk para pekerjanya.

“Dia cakap dengan adik ipar aku, dia nak tanya staf dia dulu mengenai ukuran baju.

“Kemudian, dia bawa terus adik ipar aku pergi ke kedai Ob**** M****i. Dia kata dia bos dekat situ. 

“Lepas tu dia kata dalam kedai dia kena buka semua barang kemas serta jam tangan,” katanya.

Ujar lelaki itu, mangsa dalam keadaan tidak sedar dirinya dipukau telah menyerahkan cincin, gelang dan jam tangan miliknya kepada suspek.

Susulan kejadian itu, laporan polis sudah pun dibuat, manakala foto dan video ketika kejadian kini berlegar-legar di media sosial.

Difahamkan, kejadian itu bukanlah kali pertama dilakukan suspek kerana dia didakwa aktif dengan kegiatan sama di beberapa kawasan termasuk di sekitar Ipoh, Perak dan Lembah Klang, Selangor.

Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.

Author

Pilihan Editor