HomeBeritaTiada kasino akan beroperasi di Johor - Onn Hafiz

Tiada kasino akan beroperasi di Johor – Onn Hafiz

KERAJAAN negeri Johor menegaskan bahawa, tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri tersebut seperti mana berita tular baru-baru ini.

Justeru, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan khabar angin tersebut sebagai unsur sabotaj dan berniat jahat bagi mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya.

Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri Johor yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu, manakala kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua sedia maklum bahawa, kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor, agar memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

“Untuk makluman, kerajaan negeri Johor juga tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara ini, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.

“Kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahu pun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara sama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Tangkap layar hantaran di laman Facebook Onn Hafiz pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa, baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor.

“Sejarah juga jelas membuktikan bahawa, sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup.

“Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” katanya.

“Dengan penegasan ini, kerajaan negeri berharap supaya isu ini tidak lagi diperpanjang dan dimomokkan, sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Terdahulu, portal berita Bloomberg dengan memetik sumber melaporkan bahawa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bertemu dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.

Laporan itu mendakwa, Anwar beserta beberapa pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan tempatan telah mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia di kawasan tersebut.

Author

Pilihan Editor