HomeGlobalTrend 'chroming' ragut nyawa anak muda

Trend ‘chroming’ ragut nyawa anak muda

SEORANG wanita meluahkan kebimbangan mengenai risiko kematian anak perempuannya selepas menghidu beberapa botol deodoran baru-baru ini.

Menurut Mikayla Solomon, 37, anaknya terikut-ikut dengan cabaran menghidu bahan kimia atau dikenali chroming, yang sudah pun meragut nyawa golongan anak muda di seluruh dunia.

Wanita yang tinggal di United Kingdom (UK) itu berkata, anak perempuannya yang dikenali sebagai Tiegan, 12, dan seorang rakannya ditangkap menghidu beberapa botol deodoran bertujuan untuk ‘ketawa’ ketika sedang tidur.

“Saya tidak pasti apa yang dia telah lakukan, namun anak perempuan saya yang lain memaklumkan bahawa Teigan telah menghidu deodoran. Saya tidak tahu apa maksudnya.

“Kira-kira lima atau enam botol deodoran telah digunakan mereka berdua,” katanya seperti dilapor New York Post.

Tiegan mengalami simptom pening serta jantung berdebar selepas mengikuti cabaran ‘chroming’ – Agensi

Wanita itu berkata, Tiegan telah mengadu mengalami beberapa simptom termasuk pening kepala serta jantung berdebar dan menyebabkan kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital.

Kanak-kanak itu kemudian dibenarkan pulang selepas diberi rawatan, namun keadaannya dilihat semakin merosot.

Solomon (kanan) mengesyaki bahawa anaknya mengalami simptom muntah-muntah selama 12 hari akibat daripada penyedutan aerosol. -Agensi

Tiegan dilaporkan muntah selama hampir dua minggu berturut-turut, manakala Solomon mengesyaki bahawa ia berpunca daripada penyedutan aerosol.

“Dia sakit setiap hari selama 12 hari, jika ia adalah pepijat ia akan hilang dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Tambah Solomon, rawatan kedua Tiegan ke bilik kecemasan terbukti tidak membuahkan hasil kerana doktor masih lagi tidak dapat mengesan punca penyakitnya.

Namun, wanita itu bersyukur apabila anaknya masih lagi bernyawa dan tidak mengalami sebarang komplikasi serius yang lain, meskipun dia masih bimbang mengenai kesan jangka panjang seperti hilang ingatan.

“Para ibu bapa perlu mengetahui mengenai bahayanya (trend chroming).

“Periksa anak anda sekiranya mereka telah melakukan trend itu kerana ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang,” sarannya.

Trend chroming dipopularkan menerusi aplikasi TikTok dan antara kesan sampingan terhadap mangsa termasuk pertuturan yang tidak jelas, pening, halusinasi, serangan jantung atau sesak nafas.

Botol aerosol, penanggal pengilat kuku dan minyak petrol antara bahan kimia yang digunakan dalam trend tersebut.

Bulan lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia selepas mengikuti trend tersebut, seterusnya menyebabkan keluarga mangsa menggesa TikTok untuk menyekat kandungan sedemikian.

 

Author

Pilihan Editor