AHLI keluarga mangsa korban nahas helikopter terhempas yang berada di Sabah akan diterbangkan melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Lumut, Perak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dibuat sebagai inisiatif kerajaan bagi membantu memudahkan urusan pertemuan mereka dengan mayat mangsa.
“Ada mangsa yang berkhidmat di Lumut dan ada yang bertugas di Kota Kinabalu, Sabah.
“Ketika ini, kesemua mangsa berada di Hospital Angkatan Tentera Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di ibu negara pada Selasa.
Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi, sebelum kedua-duanya bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian, manakala mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
Difahamkan, kesemua mangsa melibatkan tujuh lelaki dan tiga wanita.
Tenangkan keluarga mangsa jadi keutamaan
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, perkara yang menjadi keutamaan ketika ini adalah menenangkan waris-waris mangsa, selain memberi bantuan dan sumbangan.
“Tenangkan mereka dan secara kebiasaan, apabila ada sahaja bencana kita akan memberi bantuan dan sumbangan.
“Paling penting, tenangkan mereka dan bukan boleh diganti dengan perkara lain.
“Bagi pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan saya sendiri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dengan perasaan dukacita. Kejadian ini berlaku semasa latihan raptai untuk persiapan acara berkenaan,” katanya yang akan ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan dan keluarga mangsa.
Raptai kali ketiga
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa, kesemua mangsa nahas itu sedang menjalani raptai untuk kali ketiga, bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90.
Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan berlaku pada semua 10 mangsa yang terkorban ketika raptai kali pertama dan kedua.
Ujarnya, MINDEF juga akan menilai semula ketetapan berhubung penganjuran sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 itu.
“Itu (penganjuran sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90) saya percaya akan dipertimbangkan kerana ia adalah program yang disusun oleh TLDM,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya akan membuat laporan interim dengan segera sebelum mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu.
“Namun, semua ini semestinya akan mengambil masa,” katanya sambil menambah bahawa kesemua mangsa berusia dalam lingkungan bawah 40 tahun.