HomeBeritaUM mohon maaf kenyataan kontroversi Bruce Gilley

UM mohon maaf kenyataan kontroversi Bruce Gilley

UNIVERSITI Malaya (UM) membuat permohonan maaf kepada semua pihak, susulan kenyataan kontroversi dibuat seorang profesor dipercayai pro-Israel, Bruce Gilley ketika tampil sebagai penceramah jemputan universiti tersebut.

Dalam kenyataan pada Khamis, Pusat Komunikasi Korporat (CCC) UM berasal kesal dengan kenyatan kontroversi tersebut yang disifatkan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.

Menurutnya, laporan lengkap berhubung isu berkenaan sedang disediakan, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat.

“UM turut memandang serius perkara ini dan memohon maaf kepada semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, CCC UM berkata, pihaknya mengambil maklum saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing.

Justeru, katanya, tindakan serta merta untuk akur dengan saranan tersebut sudah pun dilakukan.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat, terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama, termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.

“Dalam pada itu, UM juga turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang boleh mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, KPT mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri Gilley sebagai penceramah jemputan ke UM, diarahkan untuk dibatalkan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau turut meminta universiti tersebut untuk menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut.

Pada 9 April lalu, Institut Pengajian China UM mengeluarkan jemputan terbuka untuk seminar bertajuk ‘Reassessing Republican China‘ yang menampilkan Gilley pada 25 April 2024.

Pada 16 April lalu, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik mengumumkan program Visiting Professor Program 2024 (Program Profesor Pelawat 2024), yang mana Gilley dijemput untuk menyampaikan syarahan dan mengendalikan bengkel selama tiga hari mulai 22 sehingga 24 April lalu.

Pada hari kedua (23 April), ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Will Malaysia Become an Active Middle Power?‘, Bruce mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs, and will certainly never be a friend or partner of the United States‘ ketika memberi syarahan.

Kenyataan itu kemudian dikongsikan semula menerusi ciapan di laman X milik peribadinya, seterusnya menarik perhatian masyarakat Malaysia.

 

 

Author

Pilihan Editor