HomeBeritaPenstrukturan Semula Akaun KWSP mulai 11 Mei

Penstrukturan Semula Akaun KWSP mulai 11 Mei

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa mulai 11 Mei depan.

Inisiatif itu memperkenalkan Akaun 3 yang akan dinamakan sebagai Akaun Fleksibel.

Sehubungan itu, pada 11 Mei depan, semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan merupakan akaun untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, manakala Akaun Sejahtera bagi menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.

Akaun Fleksibel pula bertindak bagi menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek, dengan simpanan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli dengan minimum pengeluaran sebanyak RM50.

KWSP menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, penstrukturan semula ini dilakukan bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan, di samping memenuhi keperluan kitaran hidup pencarum.

Menurut KWSP, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Tambahnya, semua caruman selepas 11 Mei akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan dengan 75 peratus ke Akaun Persaraan; 15 peratus dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus lagi ke Akaun Fleksibel.

Namun, KWSP memberitahu, pencarum diberi pilihan sekali sahaja antara 11 Mei hingga 31 Ogos untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

“Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

“Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.

Mengulas mengenai kaedah pindahan jumlah mengikut pecahan, KWSP memaklumkan, bagi pencarum yang mempunyai baki RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera, sebanyak 10 per 30 daripada jumlah tersebut akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Menurutnya, lima per 30 daripada baki dalam Akaun Sejahtera pula dipindahkan ke Akaun Persaraan, manakala 15 per 30 kekal dalam Akaun Sejahtera.

Bagi pencarum yang mempunyai baki kurang RM1,000 dalam Akaun Sejahtera, kesemua amaun itu akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 tetapi tidak melebihi RM3,000 pula, jumlah yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000 manakala baki kekal dalam Akaun Sejahtera.

“Perbezaan dalam kaedah pengagihan ini adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan yang rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

“Ahli yang ingin memanfaatkan pilihan ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau terminal layan diri yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, fokus utama inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP itu adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata, inisiatif itu juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya pencarum menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka.

“Inisiatif ini bukan sekadar tindak balas KWSP terhadap keperluan semasa tetapi merupakan langkah proaktif untuk membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi pendduuk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

“Dengan penambahbaikan ini, KWSP berusaha untuk memastikan setiap ahli dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor