HomeBeritaVideo disalah sunting, Nie Ching lapor polis

Video disalah sunting, Nie Ching lapor polis

VIDEO yang dimuat naik di semua platfom media sosial Teo Nie Ching pada 26 April lepas telah disalah sunting dan disebarkan dengan niat jahat.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu memaklumkan, video tersebut adalah mengenai akaun palsu yang diwujudkan atas nama calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Tangkap layar video yang disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab atas tujuan fitnah. -FB Teo Nie Ching

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata, video itu adalah temu bualnya dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) namun telah disalah sunting.

“Oleh itu, pada hari ini (Isnin) satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai media saya terhadap individu-individu yang telah menyebarkan keratan gambar atau suntingan video tersebut di mana-mana platform, yang jelas berniat jahat dan merupakan satu fitnah keji terhadap parti DAP dan juga calon Perpaduan dalam PRK ini,” tulisnya.

Laporan polis dibuat oleh pegawai media Nie Ching berhubung video berkenaan. -FB Teo Nie Ching

Mengulas lanjut, beliau berkata, pilihan raya bukanlah tiket untuk mana-mana pihak menyebarkan fitnah dengan niat mencetuskan perbalahan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Seperti dalam video penuh tersebut, saya ingin menggalakkan masyarakat untuk buat semakan terhadap apa-apa kandungan teks, gambar atau video yang diterima dengan akaun atau laman rasmi sebelum menyebarkan sesuatu yang barangkali hanyalah berita palsu atau fitnah semata-mata,” katanya.

Khamis lalu, Teo dilapor berkata, DAP meminta Meta menutup akaun palsu calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK Kuala Kubu Baharu yang didakwa dicipta oleh pihak tertentu.

 

Author

Pilihan Editor