HomeBeritaPolitik188 kertas undi pos dikeluarkan pada PRK Kuala Kubu Baharu

188 kertas undi pos dikeluarkan pada PRK Kuala Kubu Baharu

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 188 kertas undi pos kepada pengundi yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, sebanyak 178 kertas undi pos bagi Kategori 1A dikeluarkan bagi petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

“Sebanyak lapan undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); satu bagi Kategori 1C (agensi dan organisasi) serta satu bagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (PTH),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua empat calon yang bertanding.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dan segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum jam 5 petang, 11 Mei ini (Sabtu),” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing, dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di media sosial.

 

Author

Pilihan Editor