BALIK PULAU: Seorang pembantu jualan direman empat hari bagi membantu siasatan kes seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) disimbah air panas di Jalan Rajawali I-Park, di sini.
Menurut laporan Harian Metro, perintah reman terhadap wanita berusia 39 tahun itu bermula hari ini hingga Rabu, dikeluarkan Majistret Chia Huey Ting.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Media melaporkan lelaki OKU Sindrom Down berusia 33 tahun melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya ketika berada di dalam lif pada 9.20 pagi Jumaat.
Video insiden berdurasi 20 saat itu tular di media sosial dan warga net mengecam tindakan wanita berkenaan.
Mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil, malah kejadian turut tular di media sosial.