HomeBeritaPolitikKerajaan Perpaduan masih kuasai Kuala Kubu Baharu

Kerajaan Perpaduan masih kuasai Kuala Kubu Baharu

SENTIMEN para pengundi terhadap kepimpinan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, mendiang Lee Kee Hiong antara faktor kawasan terbabit masih dikuasai oleh Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 11 Mei ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, hal ini kerana Kee Hiong dianggap sebagai pemimpin yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk di Kuala Kubu Baharu.

Oleh sebab itu, beliau berkata, pengundi dijangka teruja untuk meneruskan warisan kepimpinan calon dari parti DAP berkenaan.

Apatah lagi, katanya, DAP merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang menjanjikan keharmonian, keamanan dan kestabilan politik ketika ini.

Dengan pemilihan calon dari parti sama, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa, masalah kegawatan ekonomi dan masalah negara yang lain tidak memberi kesan terhadap PRK Kuala Kubu Baharu.

“Ini memandangkan prestasi kerajaan semasa mampu menerajui negara dengan baik dan menjelmakan kestabilan ekonomi dan politik.

“Malah, faktor pengundi muda seramai 11,890 orang tentunya akan memberi kesan besar terhadap PRK Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada Media Variasi.

Terdahulu, Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilapor berkata, calon dipertandingkan mereka nanti akan mewakili Kerajaan Perpaduan dan bukan atas nama parti dalam gabungan itu.

Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, calon berkenaan sedang dikenal pasti.

Rujuk kepimpinan DAP

Syed Agil – Utusan TV

Dalam perkembangan sama, Syed Agil berkata, calon yang bakal diketengahkan pada pilihan raya itu memainkan peranan penting dan perlu merujuk kepada pengalaman pentadbiran DAP di kawasan terbabit.

Beliau berkata, ini termasuk menyantuni penduduk serta memberi keyakinan terhadap mereka mengenai kestabilan politik yang dimainkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, katanya, Kerajaan Perpaduan perlu mengambil kira tentang kesediaan untuk mempertaruhkan calon muda bagi menyantuni pengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Malah, Kerajaan Perpaduan juga harus memikirkan strategi terbaik untuk meningkatkan atau memperbaiki pembangunan di Kuala Kubu Baharu mengikut keperluan penduduk.

“Adakah terdapat penambahan bagi pembinaan kawasan perumahan untuk menyantuni golongan B50 di kawasan tersebut? Demikian antara persoalan yang boleh mempengaruhi pengundi terhadap calon parti untuk memimpin Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Pendekatan kepada pengundi

Mengulas lanjut, Syed Agil berkata, Kerajaan Perpaduan disaran untuk mendekati golongan pengundi muda menerusi media sosial yang dilihat berpengaruh buat golongan tersebut.

Dari segi pendekatan terhadap pengundi terhadap golongan veteran pula, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan disyorkan untuk menjalankan kempen dari rumah ke rumah, di samping membongkar isu-isu semasa negara dan setempat untuk meraih pengaruh pengundi.

“Ini sudah pasti menjanjikan beberapa strategi pembangunan semula atau penambahbaikan di Kuala Kubu Baharu semasa berkempen,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

 

Author

Pilihan Editor