HomeGlobalWarga emas 104 tahun tamatkan larian 100 meter dalam tempoh 32.92 saat

Warga emas 104 tahun tamatkan larian 100 meter dalam tempoh 32.92 saat

APABILA kita membayangkan warga emas berumur 100 tahun, pasti tidak terjangka dek akal bahawa mereka akan terlibat dalam aktiviti lasak seperti menyertai perlumbaan lari. 

Namun warga emas yang dikenali Sawang Janpram, 104 tahun, membuktikan sebaliknya apabila dia berhasil menamatkan larian 100 meter dalam masa 32.92 saat semasa Permainan Sukan Warga Emas Kebangsaan ke-6 di Thailand.

Acara itu juga dikenali sebagai Permainan Muaong Ong dan berlangsung pada Ahad di Wilayah Ratchaburi, Thailand.

Lebih luar biasa, ini bukanlah kemenangan pertama Sawang dalam acara sukan kerana beliau merupakan juara Asia emas yang terkenal.

Sawang turut bersaing dalam beberapa sukan lain seperti, angkat berat, lemparan cakera, merejam lembing, dan larian 100 meter. 

Meskipun beliau adalah peserta tertua di Kejohanan Sukan Asia Masters ke-22 di Filipina tahun lalu, beliau memenangi pingat emas dalam keempat-empat kategori.

Sawang meraih pingat emas dalam keempat-empat kategori disertainya di Kejohanan Sukan Asia Masters ke-22, Filipina.

Bukan itu sahaja, Sawang turut meraih pingat dalam acara Sukan Master Kebangsaan di Thailand dan Kejuaraan Dunia yang diadakan di China, Singapura, dan Malaysia. 

Menurut laporan MS News, beliau sepatutnya bertanding di Finland namun atas faktor usia yang lanjut beliau tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu. 

Anak perempuannya, Siripan Janpram berkata, bapanya mula bersenam di usia 97 tahun setelah melihat rakan-rakannya jatuh sakit dan terbaring di atas katil.

“Beliau tidak mahu berakhir seperti rakan-rakanya,” jelasnya. 

Walaupun bermula agak lewat, Sawang berjaya menempa kemenangan dengan meraih tiga pingat semasa kejohanan pertamanya.

“Keluar bersukan dan bertanding membuat saya rasa gembira dan segar.

“Saya juga seronok kerana berpeluang untuk berkenalan dengan rakan-rakan baru,” kata peserta larian berusia 104 tahun itu.

Author

Pilihan Editor