HARI Raya Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah merupakan masa yang dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Selain kegembiraan menyambut penghujung Ramadan, Aidilfitri juga memberi peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mendapat keberkatan melalui sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Aidilfitri juga merupakan hari yang disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan, bagi umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadat dengan sempurna pada bulan Ramadan, juga sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT, di atas rahmat dan petunjukNya. Selaras dengan maksud firman Allah SWT di dalam Surah Al Baqarah ayat 185:
“… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
Artikel kali ini akan menerangkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW yang sangat dianjurkan semasa Aidilfitri yang membawa keberkatan dan kebahagiaan kepada umat Islam seperti yang dikongsikan oleh Jabatan Mufti Terengganu.
Antaranya ialah:
Pertama: Bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja mereka berada (selain dalam tandas).
Kedua: Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.” (H.R Ibnu Majah)
Ketiga: Mandi sunat hari raya, memakai pakaian yang baik dan memakai bau-bauan sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya.
Keempat: Bagi makmum sunat pergi ke tempat solat raya lebih awal, sementara Imam disunatkan datang lewat sedikit, iaitu ketika hendak mendirikan solat.
Kelima: Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA berkata : “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi Hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Bukhari].
Keenam: Memberi kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan, memperbanyakkan sedekah sekadar yang termampu.
Ketujuh: Keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan lain. Bagi yang mampu adalah lebih afdal pergi solat berjalan kaki.
Kelapan: Menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim, serta mengucapkan sebarang ucapan yang baik. Para sahabat Rasulullah SAW ketika bertemu sesama mereka pada hari Raya mereka menyebut :تقبل الله منا ومنك (semoga Allah menerima amal kami dan juga amalmu).
Kesembilan: Tidak berjabat salam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, seperti ipar, isteri bapa saudara atau suami emak saudara dan seumpamanya.
Semoga dengan mengamalkan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, Hari Raya Aidilfitri menjadi lebih bermakna dan mempereratkan hubungan kita dengan Allah SWT serta sesama manusia.
Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam!