HomeBeritaUmat Islam Malaysia sambut Aidilfitri esok

Umat Islam Malaysia sambut Aidilfitri esok

MASYARAKAT Islam di seluruh negara akan menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri pada Rabu.

Perkara itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara pada Selasa petang.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, bersamaan 10 April 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan di saluran televisyen tempatan pada Selasa.

Sebelum ini, Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Minggu lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan bahawa, tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang 9 April di 29 lokasi di seluruh negara.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal adalah di Pontian Kecil, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor serta Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah, Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu, manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Author

Pilihan Editor