HomeHiburanZaiton Sameon idam muncul kembali di kaca TV

Zaiton Sameon idam muncul kembali di kaca TV

AMPANG: Penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon, 68, terharu terima kunjungan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil  di Apartmen Sri Baiduri, di sini, pada Khamis.

Malah, Zaiton tidak menyangka kepayahan hidup dan masalah kesihatan dialami sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian.

Penyanyi lagu Menaruh Harapan itu berkata, dia bersyukur apabila Fahmi bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia sanggup meluangkan masa menziarahinya di rumah.

“Paling saya tak sangka apabila menteri sendiri datang ke rumah menyantuni dan menghulurkan bantuan. Saya sangat berterima kasih kerana masih ada yang prihatin dengan artis bernasib malang seperti saya.

“Saya merasakan lagu sendiri memang ada kena mengena dengan jalan hidup yang dilalui. Ada masanya terfikir, orang ramai sudah lupa saya ke?

“Tapi, bila tiba-tiba menteri datang hendak berjumpa, ia satu penghormatan kepada saya,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Seni Madani, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2024 bersama Fahmi di kediamannya.

Turut hadir bersama, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Muttalib bagi menyantuni Zaiton termasuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan.

Mengulas lanjut, Zaiton teruja apabila menteri menyatakan hasrat untuk membantu dia kembali menyanyi di program stesen TV yang akan diusulkan akan datang.

“Saya terkejut semasa berbual dengan menteri, dia ada menyatakan hasrat membantu mengembalikan populariti saya sama seperti dahulu.

“Saya juga berharap dapat dipanggil semula ke stesen televisyen (TV) untuk membuat persembahan, suatu masa nanti.

“Bagi saya, dapat muncul di kaca TV sangat penting. Orang ramai pun boleh tengok saya masih boleh menyanyi dan buat persembahan.

Di samping itu, Zaiton tidak menafikan agak terkilan apabila kurang dipanggil ke stesen TV seperti zaman popularnya dahulu.

“Namun, ada juga rasa terkilan bila stesen TV sudah lama tak panggil. Saya berharap ada lagu untuk dipanggil sebagai artis undangan.

“Kali terakhir muncul di kaca TV ketika Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di TV3,” katanya.

Pada 1990-an lalu, Zaiton terlibat kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor lalu kehilangan satu-satu anak lelaki anak iaitu Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Akibat kemalangan itu, Zaiton hilang ingatan sementara, akibat kecederaan parah di bahagian kepala hingga koma, namun kini keadaan kesihatannya di tahap stabil.

Sebagai rekod, Zaiton juga adalah penerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan pada 14 November 2022 lalu.

Author

Pilihan Editor