SEORANG ahli politik wanita didakwa memiliki hubungan sulit dengan anak angkatnya dalam kejadian di Thailand baru-baru ini.
Prapaporn Choeiwadkoh, 45, ditangkap berdua-duaan di atas katil dengan Phra Maha, 24, yang juga seorang sami.
Lapor South China Morning Post, kelakuan tidak senonoh ahli politik itu sempat dirakam oleh suaminya yang dikenali Ti.
Ti, 64, dilapor nekad memandu selama lima jam bagi menangkap perbuatan curang dilakukan oleh isterinya.
Menerusi video tular itu, Ti sengaja mengemukakan soalan ‘panas’ kepada sami berkenaan.
“Adakah kamu berdua gembira (menjalinkan hubungan sulit)?” soal Ti.
Dengan perasaan tidak bersalah, Phra Maha kekal mempertahankan pendiriannya: “Tiada apa-apa yang berlaku.”
Tahun lalu, pasangan suami isteri tersebut mengambil Phra Maha sebagai anak angkat dari sebuah kuil, selepas Choeiwadkoh meluahkan rasa kasihan terhadap sami berkenaan.
Ti menunding jari kepada Phra Maha, dengan mendakwa sami yang kini melarikan diri itu telah menggoda isterinya.
Choeiwadkoh merupakan ahli politik terkenal dari Sukhotai, sebuah wilayah di tengah Thailand.
Wanita itu juga berkhidmat sebagai presiden dewan perniagaan temaptan dan menjadi ahli Parti Demokrat sejak Mac tahun lalu.
Namun, beliau tidak aktif dalam hal ehwal parti sejak pilihan raya umum Mei lalu.
Ketika ini, beliau sudah pun digantung keahlian parti sementara menunggu siasatan terhadap skandal tersebut. – Agensi