HomeBeritaAtlet kayak diseret pemandu dipercayai mabuk hingga 600m

Atlet kayak diseret pemandu dipercayai mabuk hingga 600m

ATLET kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias dilaporkan cedera parah selepas dilanggar dan diseret sejauh 600 meter (m) oleh sebuah kereta dipandu individu dipercayai mabuk, Sabtu lalu.

Kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Johor Bahru menuju ke Southkey, membabitkan motosikal ditunggang Siti Nurul Masyitah dengan sebuah kereta dipandu lelaki yang disyaki mabuk tersebut.

Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang dalam hantaran di Facebook memaklumkan, Siti Nurul Masyitah, 22, yang merupakan pelajar kejuruteraan mekanikal di politeknik tersebut telah dilanggar oleh sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu terhuyung-hayang.

Menurut hantaran tersebut, atlet kayak negara itu ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan serius.

“Mangsa sering berulang alik dari politeknik ke rumah kerana menjaga ibu bapanya.

“Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan memerlukan rawatan dialisis.

Mohon doakan agar mangsa dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” menurut hantaran tersebut.

Siti Nurul Masyitah merupakan salah seorang atlet sukan kayak dan Dragon Boat Malaysia yang telah memenangi pingat Perak ketika temasya Sukan Sea 2023 di Kemboja.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian Online, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Satu kenyataan media berkenaan kes ini akan dikeluarkan hari ini (Rabu),” katanya.

Berdasarkan hantaran tular di media sosial, turut dikongsikan gambar seorang lelaki didakwa suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk sedang membuat isyarat peace.

Author

Pilihan Editor