HomeBeritaFaisal Halim stabil, terima rawatan di hospital PJ - Polis

Faisal Halim stabil, terima rawatan di hospital PJ – Polis

POLIS mengesahkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, cedera akibat disimbah cecair dipercayai asid di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku ketika pemain itu berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

“Pada jam 5.52 petang tadi (Ahad), polis Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan kecemasan 999 bahawa, seorang pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair dipercayai asid.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah pada Ahad.

Kejadian itu berlaku selepas tidak sampai seminggu insiden seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun di Terengganu.

Sementara itu, Selangor FC dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis berhubung kejadian tersebut.

“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid petang tadi.

“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terbabit.

“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi dia dan keluarganya pada masa ini,” menurut kelab tersebut.

 

Author

Pilihan Editor